Sunday, 21 October 2012

Mimpi Dalam Konteks Islam


MASYARAKAT kita sering mengaitkan mimpi sebagai petunjuk kepada perkara baik atau buruk. Namun, tidak semua mimpi dapat ditafsirkan makna yang tersirat.
Pegawai Agama Masjid Putra Nilai, Mohd Fakhrurrazi Mohd Hanafi, berkata kepercayaan masyarakat kepada penafsiran mimpi adalah tidak bersandarkan dalil syarie yang disepakati ulama mengenai kesahihannya.
“Kitab rujukan seperti Tajul Muluk dan sebagainya bukanlah satu kitab muktabar. Ia hanyalah petua orang terdahulu. Umat Islam perlu memilih panduan berkaitan permasalahan penafsiran mimpi ini sebagaimana hadis nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. yang bermaksud:   “Jangan engkau ceritakan mimpi itu kecuali kepada orang yang alim atau orang yang cerdik akalnya.
“Nabi Yusof a.s diberikan mukjizat mahir menafsir mimpi sehingga berjaya mengeluarkan negara Mesir daripada kemarau yang panjang melalui mimpi rajanya ketika itu.
“Bahkan nabi s.a.w bersabda dalam sebuah hadis riwayat Bukhari dan Muslim, sesiapa yang bermimpi berjumpaku dalam mimpi maka ia benar kerana iblis tidak dapat menyerupai wajahku.
“Persoalannya, sejauh mana keyakinan dan pengetahuan kita berkaitan keperibadian Nabi Muhammad s.a.w. Bahkan di sinilah orang ramai mengaku berjumpa nabi s.a.w dalam mimpi yang mendakwa mereka berkomunikasi dengannya dalam bahasa Melayu,” katanya.
Beliau berkata menghairankan apabila nabi s.a.w berbangsa Arab Quraisy mampu bertutur dalam bahasa Melayu dan dengan itu terserlah tugas iblis yang mahu menyesatkan orang ramai.

“Petanda dalam mimpi seperti patah gigi, dibelit ular, dikejar ombak dan sebagainya ada tafsiran tersendiri sebagai ilham yang dikurniakan kepada individu dengan syarat tertentu seperti orang itu bertakwa, tidak melakukan maksiat. Barulah petunjuk itu hampir kepadanya.
“Paling jelas, sekiranya seseorang bermimpi berada dalam rumah ibadat agama lain itu adalah petanda orang berkenaan akan ditimpa musibah sihir,” katanya.
Beliau berkata apabila kita bermimpi perkara buruk atau ngeri, nabi s.a.w mengajar kita supaya mendapatkan berlindung daripada Allah s.w.t.
Menurutnya, orang yang mendakwa bermimpi arwah boleh disebabkan waris amat merinduinya sehingga terbawa-bawa dalam tidur.
“Justeru, pastikan kita mengikut sunnah sebagaimana yang diajar nabi s.a.w seperti membaca ayat Kursi. Hadis al-Bukhari yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a, Baginda bersabda yang bermaksud: Apabila engkau baring di tempat tidurmu, maka bacalah ayat Kursi. Maka sesungguhnya akan sentiasa bersamamu penjaga daripada Allah dan syaitan tidak menghampirimu sehingga subuh.
“Nabi s.a.w juga mengajar supaya merapatkan kedua belah tangan, kemudian meniup keduanya dengan membaca surah al-Ikhlas, al-Falaq dan an-Nas kemudiannya menyapu seluruh tubuhnya dengan kedua belah tangan dimulakan dari kepala,muka kemudian seluruh badan yang tercapai tangan sebanyak tiga kali,” katanya.

No comments:

Post a Comment